CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, December 10, 2010

TV al-Hijrah - satu langkah bijak..

SENAI - Penubuhan stesen TV AlHijrah yang memberi fokus terhadap isu keagamaan Islam merupakan satu langkah baik yang diambil oleh kerajaan untuk memperkenalkan ajaran Islam yang sebenar kepada semua rakyat tidak kira agama dan bangsa. Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, stesen televisyen tersebut memberi fokus utamanya terhadap umat Islam sendiri di nagara ini. Pelbagai info mengenai ajaran Islam dapat diperolehi sekiranya menonton siaran tersebut.
Penubuhan stesen TV AlHijrah ini sememangnya memberi peluang dan ruang kepada rakyat negara ini untuk mendapatkan maklumat berkaitan Islam selain daripada siaran-siaran lain yang ada sebelum ini. Menurutnya, pada masa yang sama menerusi stesen TV AlHijrah, kerajaan juga dapat menyampaikan dakwah dengan menghebahkan segala rancangan keagamaan kepada orang bukan Islam. Orang bukan Islam juga boleh menonton setiap program yang ada di saluran tersebut. “Penubuhan stesen TV AlHijrah ini sekurang-kurangnya dapat memberi maklumat yang tepat mengenai ajaran Islam kepada umat Islam sendiri dan juga orang bukan Islam. “Orang bukan Islam juga akan mengetahui perspektif dan gambaran ajaran Islam yang sebenar seperti yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran apabila mereka menonton stesen televisyen tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Zainal berkata, tindakan bijak pihak kerajaan ini juga diharapkan sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi pihak-pihak tertentu terhadap ajaran Islam yang sebelum ini Islam dikatakan sebagai pengganas ekoran beberapa kejadian yang berlaku yang melibatkan umat Islam. Katanya, gambaran Islam sebenar dapat diperolehi daripada stesen televisyen ini dan pelbagai lapisan masyarakat boleh menonton bagi mengenali Islam dengan lebih dekat. TV AlHijrah merupakan stesen televisyen kerajaan yang baru dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin. Stesen televisyen ini berperanan memperkenalkan ajaran Islam sebenar kepada seluruh rakyat di negara ini.

Kerajaan Pahang serius hadapi banjir

KUANTAN – Kerajaan Negeri serius untuk menghadapi bencana banjir dan semua persiapan sudah serta sedang dilakukan sama ada di peringkat negeri mahupun daerah. Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, keselamatan rakyat perlu diutamakan terlebih dahulu sekiranya musim tengkujuh melanda negeri ini yang dijangkakan berlaku hujung bulan ini sehingga pertengahan Januari tahun depan.
Baginda bertitah, bagi memastikan mangsa banjir terus mendapat bantuan, Kerajaan Negeri melalui Kerajaan Persekutuan memperuntukkan bantuan RM15 sehari untuk setiap seorang mangsa banjir yang meliputi bantuan makanan, selimut, berus gigi dan beberapa peralatan asas yang lain. “Kalau dahulu, peruntukan untuk seorang mangsa banjir adalah RM8 seorang tetapi mulai tahun lalu peruntukannya meningkat RM15 dan ia kekal pada tahun ini. “Malah saya juga berpuas hati terhadap taklimat persiapan banjir di peringkat negeri dan juga daerah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian kepada media selepas berkenan menghadiri Taklimat Persiapan Menghadapi Musim Tengkujuh 2010/2011 di Wisma Sri Pahang, semalam. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Sufian Ismail. Sultan Ahmad Shah juga bertitah, semua cuti kakitangan kerajaan yang terlibat dalam bencana alam itu dibekukan mulai 15 November lalu sehingga 15 Januari tahun depan bagi memastikan kelancaran penyampaian bantuan banjir sampai kepada mangsa. “Semua kakitangan yang terlibat sudah pun ditempatkan di lokasi masing-masing dan mereka ini semuanya sudah bersedia bagi menghadapi bencana alam ini dan sepanjang tempoh dua bulan ini cuti mereka terpaksa dibekukan kecuali atas sebab kecemasan,” titah baginda.
Titah baginda lagi, Polis Diraja Malaysia dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga bersedia untuk meminjamkan helikopter mereka untuk membawa bekalan bantuan dan memindahkan mangsa yang terperangkap akibat terputus hubungan. “Pihak PDRM bersedia untuk meminjamkan dua helikopter mereka, manakala ATM melalui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula bersedia meminjamkan empat helikopter dan dua lagi melalui Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD),” titah baginda. Baginda juga bertitah, seorang doktor tambahan akan ditempatkan di Pulau Tioman bagi membantu rakyat di pulau itu sepanjang tempoh bencana banjir itu berlaku.
Baginda juga meminta semua rakyat mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya kawasan mereka dinaiki air kerana ia melibatkan faktor keselamatan rakyat di negeri ini. “Saya berharap agar kita semua berdoa agar bencana banjir ini tidak berlaku. Bagaimanapun, kita sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan akibat banjir yang dijangka berlaku pada bulan ini,” titah baginda.

Ketuanan Melayu- agenda PKR..

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membangkitkan soal ketuanan Melayu untuk meraih keuntungan politik adalah punca utama menyebabkan isu itu kembali hangat dibincangkan.
Bekas Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemimpin parti itu yang beliau sifatkan sebagai mempunyai sifat perkauman, sengaja membangkitkan isu berkenaan semata-mata bagi mendapat sokongan daripada golongan tertentu.

‘‘Isu ini mula tercetus apabila ada pihak yang mula mempersoalkan kedudukan orang Melayu di negara ini. Jika tiada siapa menimbulkan perkara ini, orang Melayu tidak akan menjawab dan mempertahankan hak mereka.
‘‘Malangnya, apabila orang Melayu menjawab, mereka dituduh sebagai melanggar hak asasi manusia dan bersifat perkauman manakala pihak yang mempersoalkan ketuanan Melayu pula tidak dilabelkan dengan gelaran sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada program Hari Inovasi Ideapreneur Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 2010 di Taman Teknologi Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.
Ditanya gesaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek supaya penggunaan istilah ketuanan Melayu diharamkan di negara ini, Dr. Mahathir berkata, langkah itu hanya akan menyebabkan orang Melayu bertindak balas.

‘‘Apabila kamu mula meminta perkara ini dan itu diharamkan, pihak lain juga akan membuat tuntutan supaya perkara yang tidak menyenangi mereka turut dikenakan tindakan sama.
‘‘Ini hanya akan menimbulkan konflik antara kedua-kedua belah pihak. Bagi saya permintaan seperti ini seeloknya tidak dijawab kerana kebanyakannya adalah tidak logik dan tiada sebarang asas,” katanya.

Mengenai titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah baru-baru ini bahawa sebarang suara yang mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu adalah perbuatan menderhaka kepada kaum sendiri, beliau berkata, terpulang kepada orang ramai untuk memikirkan tentang nasihat baginda itu.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, laporan pertubuhan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bertajuk Laporan Hak-Hak Politik dan Awam 2010 yang diumumkan hari ini yang mengkritik era kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri, adalah bermotifkan politik.

‘‘Jika Suaram prihatin dengan hak asasi manusia mereka tidak harus memberi tumpuan kepada Malaysia sahaja sebaliknya perlu juga mengkritik pencabulan sama di negara lain termasuk terhadap pihak yang membunuh penduduk Gaza.

‘‘Nampaknya mereka tidak berbuat demikian dan ini bermakna pandangan Suaram bukan yang terbaik.
‘‘Bagi saya mereka juga melanggar hak asasi manusia apabila tidak menghiraukan ahli politik dan negara tertentu yang turut mencabul hak asasi,” katanya.

Kerajaan prihatin dengan masalah rakyat..

ALOR SETAR: Kerajaan menaikkan bantuan ihsan penanaman semula padi kepada RM876 sehektar, berbanding RM573 sehektar sebelum ini bagi meringankan penderitaan lebih 30,000 pesawah yang terjejas teruk akibat banjir besar di Kedah dan Perlis, awal November lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kenaikan RM303 itu membuktikan tanda keprihatinan Kerajaan Pusat kepada rakyat, terutama petani yang sawah mereka kebanyakannya baru ditanam terjejas teruk akibat banjir besar itu.


Sehubungan itu, katanya, kerajaan memperuntukkan RM50 juta dan wang bantuan itu akan diagihkan secepat mungkin, selain RM10 juta lagi bagi membaiki infrastruktur di kawasan sawah padi yang terjejas teruk dalam bencana berkenaan. “Selain bantuan itu, Kerajaan Pusat juga mengumumkan bantuan ihsan banjir RM500 kepada 32,000 keluarga mangsa banjir di Kedah dan Perlis sama ada yang berpindah ke pusat penempatan atau tidak berpindah, tetapi disahkan rumah mereka dinaiki air yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM30.6 juta.
“Kelab Putra 1Malaysia pula menyumbangkan 10,000 tilam, manakala Yayasan Rahah menyumbangkan 5,000 dapur gas dan saya mengarahkan bantuan tambahan 10,000 tilam dan 5,000 dapur gas lagi dibekalkan kepada mangsa," katanya ketika berucap di majlis penyerahan tilam 1Malaysia kepada mangsa banjir di Kedah dan Perlis anjuran Kelab Putra 1Malaysia di sini, semalam. Hadir sama, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.
Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan replika cek bantuan pertanian RM46.5 juta kepada Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Seri Mahdzir Khalid dan RM13.5 juta lagi kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu. Banjir besar yang melanda Kedah dan Perlis pada awal November lalu disifatkan yang terburuk sejak 40 tahun lalu menyebabkan lebih 60,000 penduduk di kedua-dua negeri itu dipindahkan. Najib juga memohon maaf kerana beliau tidak dapat menziarah mangsa banjir ketika bencana itu kerana menghidap demam campak. Perdana Menteri berkata, walaupun ada pihak mendakwa kejadian banjir itu disebabkan pembangunan, sebagai kerajaan yang prihatin dengan nasib dan masa depan rakyat proses pembangunan tidak boleh dihentikan. “Jika tiada pembangunan, merana kita dan kita laksanakan untuk rakyat, tapi kita pastikan tidak menjejaskan rakyat,” katanya.

Perumahan Rakyat Lorong Pak Mahat :- satu pembaziran..

KUANTAN: Biarpun siap lapan tahun lalu, Perumahan Rakyat Lorong Pak Mahat di Kempadang di sini yang mempunyai 860 unit rumah masih tidak berpenghuni, malah bangunan juga kelihatan semakin usang dan terbiar.

Projek perumahan terbabit yang mempunyai dua blok A dan B siap sepenuhnya pada 2002, dengan setiap unit rumah mempunyai tiga bilik dan dua bilik air serta dilengkapi dengan pendawaian, meter elektrik dan kipas siling.

Difahamkan, projek perumahan itu dirasmikan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007 untuk projek perumahan rakyat dan dikhususkan bagi nelayan yang tinggal sekitar Tanjung Lumpur dan Tanjung Api. Pengurusan penyelenggaraan bagi blok A perumahan itu dikendalikan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), manakala blok B pula diuruskan pejabat Setiausaha Kerajaan negeri (SUK). Tinjauan Berita Harian mendapati lalang memenuhi sekitar kawasan perumahan itu yang lengkap dengan taman permainan dan surau.

Malah, beberapa remaja lelaki dilihat berkeliaran dan melepak di sekitar kawasan perumahan yang terbiar itu dan sempat menemubual seorang pengawal keselamatan, Muhd Nasrul Abdul Khalid, 26, yang dilantik pejabat SUK untuk menjaga dan mengawasi blok B. Beliau yang bertugas sejak setahun lalu, mendakwa ramai orang terutama nelayan tidak mahu tinggal di rumah itu kerana ia tidak akan menjadi hak milik kekal mereka malah perlu membayar sewa selama mereka tinggal. Katanya, berikutan itu bangunan berkenaan terbiar begitu saja dan tidak mendapat sambutan dan lebih membimbangkan ialah setiap pintu rumah tidak dikunci seterusnya menjadi sasaran penagih dadah yang menyelinap masuk serta memotong wayar elektrik untuk mencuri tembaga, selain melarikan kipas siling dan besi yang boleh dijual.

Malah, Muhd Nasrul berkata, bilik pencawang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad juga di pecah masuk dan generatornya dilarikan. "Saya ditugaskan menjaga kawasan ini dan setakat ini tiada apa-apa perkara tidak diingini berlaku, cuma kadang kala terserempak penagih yang cuba pecah masuk rumah, namun sebaik disergah mereka melarikan diri. “Jalan masuk juga dihadang dengan kayu untuk mengelakkan ada pasangan remaja masuk secara senyap dan membuat perkara tidak elok di sekitar kawasan ini," katanya

Thursday, December 9, 2010

TUANKU BERI JAMINAN


SUNGAI LEMBING – Penduduk di Kampung Kawah di sini bakal menerima sebuah jambatan baru dalam jangka masa enam bulan berikutan jambatan tersebut terputus dua kelmarin akibat daripada arus deras sungai. Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah yang berkenan melihat keadaan jambatan tersebut bertitah baginda tidak mahu melihat rakyatnya hidup susah gara-gara masalah yang berlaku dan mahu isu itu diselesaikan secepat mungkin. Baginda bertitah, jambatan tersebut perlu disiapkan dalam jangka masa yang ditetapkan agar rakyat mudah melaksanakan tugasan seharian mereka di kampung ini. “Beta tidak mahu rakyat di negeri beta ini hidup susah, oleh itu beta mahu satu gerakan kerja yang tersusun dilaksanakan secepat mungkin agar tidak membawa musibah lain kepada rakyat beta di kampung ini,” titah baginda. Selain itu, baginda juga berharap agar jambatan gantung yang dijanjikan siap dalam tempoh 10 hari lagi itu memberi keselesaan kepada penduduk untuk keluar masuk. Seterusnya, baginda juga akan menulis surat kepada menteri terbabit untuk memohon peruntukan berjumlah RM25 juta bagi tujuan pembinaan sebuah jambatan konkrit di kampung ini. Muka depan Sinar Harian semalam melaporkan keresahan yang dihadapi penduduk Kampung Kawah selepas jambatan kayu yang menjadi laluan utama mereka dihanyutkan arus deras. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang, Datuk Ir Rosman Yahya berkata, jambatan baru yang dicadangkan tersebut mungkin menelan belanja RM1.5 juta hingga RM2 juta dan akan dibina berlandaskan kaedah kecemasan dan keselamatan. Menurutnya, perancangan jangka panjang untuk pembinaan jambatan konkrit itu pula mungkin mengambil masa yang lama. Bagaimanapun pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah. “Kita mengira pelbagai jenis sudut untuk pembinaan jambatan ini kerana ia menjadi laluan kayu balak yang hanyut dan ‘sampah’ yang mungkin akan terletak pada dasar jambatan. “Bagaimanapun, pihak kami akan usaha yang terbaik untuk mengatasi masalah ini dan berharap jambatan baru yang dibina nanti lebih selamat dan selesa untuk kegunaan penduduk,” katanya.

RAJA MELAYU PERLU BERSATU

Raja Melayu perlu bersatu nyata pendirian
Raja-raja Melayu perlu bersatu menyatakan pendirian menentang sebarang usaha pihak-pihak tertentu yang mahu menghapuskan sejarah bangsa hanya kerana kepentingan dan pemikiran sempit mereka.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, ia penting memandangkan usaha pihak tidak bertanggungjawab tersebut kini telah sampai ke peringkat membimbangkan.
“Raja-raja Melayu melalui Majlis Raja-Raja perlu membuat pendirian tegas dan menguatkuasakan perkara ini berdasarkan peruntukan dalam bidang kuasa majlis agama Islam negeri masing-masing.
“Ia sebagai langkah menggelakkan orang Melayu terus berlarutan dan sanggup mempertikaikan hak istimewa sendiri,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Hilmi, peringatan Sultan Perak tersebut yang turut dibangkitkan Sultan Selangor dan Sultan Pahang sebelum ini, perlu dilihat sebagai suatu maklum balas yang serius.