CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, December 10, 2010

Kerajaan Pahang serius hadapi banjir

KUANTAN – Kerajaan Negeri serius untuk menghadapi bencana banjir dan semua persiapan sudah serta sedang dilakukan sama ada di peringkat negeri mahupun daerah. Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, keselamatan rakyat perlu diutamakan terlebih dahulu sekiranya musim tengkujuh melanda negeri ini yang dijangkakan berlaku hujung bulan ini sehingga pertengahan Januari tahun depan.
Baginda bertitah, bagi memastikan mangsa banjir terus mendapat bantuan, Kerajaan Negeri melalui Kerajaan Persekutuan memperuntukkan bantuan RM15 sehari untuk setiap seorang mangsa banjir yang meliputi bantuan makanan, selimut, berus gigi dan beberapa peralatan asas yang lain. “Kalau dahulu, peruntukan untuk seorang mangsa banjir adalah RM8 seorang tetapi mulai tahun lalu peruntukannya meningkat RM15 dan ia kekal pada tahun ini. “Malah saya juga berpuas hati terhadap taklimat persiapan banjir di peringkat negeri dan juga daerah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian kepada media selepas berkenan menghadiri Taklimat Persiapan Menghadapi Musim Tengkujuh 2010/2011 di Wisma Sri Pahang, semalam. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Sufian Ismail. Sultan Ahmad Shah juga bertitah, semua cuti kakitangan kerajaan yang terlibat dalam bencana alam itu dibekukan mulai 15 November lalu sehingga 15 Januari tahun depan bagi memastikan kelancaran penyampaian bantuan banjir sampai kepada mangsa. “Semua kakitangan yang terlibat sudah pun ditempatkan di lokasi masing-masing dan mereka ini semuanya sudah bersedia bagi menghadapi bencana alam ini dan sepanjang tempoh dua bulan ini cuti mereka terpaksa dibekukan kecuali atas sebab kecemasan,” titah baginda.
Titah baginda lagi, Polis Diraja Malaysia dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga bersedia untuk meminjamkan helikopter mereka untuk membawa bekalan bantuan dan memindahkan mangsa yang terperangkap akibat terputus hubungan. “Pihak PDRM bersedia untuk meminjamkan dua helikopter mereka, manakala ATM melalui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula bersedia meminjamkan empat helikopter dan dua lagi melalui Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD),” titah baginda. Baginda juga bertitah, seorang doktor tambahan akan ditempatkan di Pulau Tioman bagi membantu rakyat di pulau itu sepanjang tempoh bencana banjir itu berlaku.
Baginda juga meminta semua rakyat mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya kawasan mereka dinaiki air kerana ia melibatkan faktor keselamatan rakyat di negeri ini. “Saya berharap agar kita semua berdoa agar bencana banjir ini tidak berlaku. Bagaimanapun, kita sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan akibat banjir yang dijangka berlaku pada bulan ini,” titah baginda.

0 comments: