CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, December 10, 2010

Kerajaan prihatin dengan masalah rakyat..

ALOR SETAR: Kerajaan menaikkan bantuan ihsan penanaman semula padi kepada RM876 sehektar, berbanding RM573 sehektar sebelum ini bagi meringankan penderitaan lebih 30,000 pesawah yang terjejas teruk akibat banjir besar di Kedah dan Perlis, awal November lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kenaikan RM303 itu membuktikan tanda keprihatinan Kerajaan Pusat kepada rakyat, terutama petani yang sawah mereka kebanyakannya baru ditanam terjejas teruk akibat banjir besar itu.


Sehubungan itu, katanya, kerajaan memperuntukkan RM50 juta dan wang bantuan itu akan diagihkan secepat mungkin, selain RM10 juta lagi bagi membaiki infrastruktur di kawasan sawah padi yang terjejas teruk dalam bencana berkenaan. “Selain bantuan itu, Kerajaan Pusat juga mengumumkan bantuan ihsan banjir RM500 kepada 32,000 keluarga mangsa banjir di Kedah dan Perlis sama ada yang berpindah ke pusat penempatan atau tidak berpindah, tetapi disahkan rumah mereka dinaiki air yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM30.6 juta.
“Kelab Putra 1Malaysia pula menyumbangkan 10,000 tilam, manakala Yayasan Rahah menyumbangkan 5,000 dapur gas dan saya mengarahkan bantuan tambahan 10,000 tilam dan 5,000 dapur gas lagi dibekalkan kepada mangsa," katanya ketika berucap di majlis penyerahan tilam 1Malaysia kepada mangsa banjir di Kedah dan Perlis anjuran Kelab Putra 1Malaysia di sini, semalam. Hadir sama, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.
Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan replika cek bantuan pertanian RM46.5 juta kepada Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Seri Mahdzir Khalid dan RM13.5 juta lagi kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu. Banjir besar yang melanda Kedah dan Perlis pada awal November lalu disifatkan yang terburuk sejak 40 tahun lalu menyebabkan lebih 60,000 penduduk di kedua-dua negeri itu dipindahkan. Najib juga memohon maaf kerana beliau tidak dapat menziarah mangsa banjir ketika bencana itu kerana menghidap demam campak. Perdana Menteri berkata, walaupun ada pihak mendakwa kejadian banjir itu disebabkan pembangunan, sebagai kerajaan yang prihatin dengan nasib dan masa depan rakyat proses pembangunan tidak boleh dihentikan. “Jika tiada pembangunan, merana kita dan kita laksanakan untuk rakyat, tapi kita pastikan tidak menjejaskan rakyat,” katanya.

0 comments: