CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, December 10, 2010

TV al-Hijrah - satu langkah bijak..

SENAI - Penubuhan stesen TV AlHijrah yang memberi fokus terhadap isu keagamaan Islam merupakan satu langkah baik yang diambil oleh kerajaan untuk memperkenalkan ajaran Islam yang sebenar kepada semua rakyat tidak kira agama dan bangsa. Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, stesen televisyen tersebut memberi fokus utamanya terhadap umat Islam sendiri di nagara ini. Pelbagai info mengenai ajaran Islam dapat diperolehi sekiranya menonton siaran tersebut.
Penubuhan stesen TV AlHijrah ini sememangnya memberi peluang dan ruang kepada rakyat negara ini untuk mendapatkan maklumat berkaitan Islam selain daripada siaran-siaran lain yang ada sebelum ini. Menurutnya, pada masa yang sama menerusi stesen TV AlHijrah, kerajaan juga dapat menyampaikan dakwah dengan menghebahkan segala rancangan keagamaan kepada orang bukan Islam. Orang bukan Islam juga boleh menonton setiap program yang ada di saluran tersebut. “Penubuhan stesen TV AlHijrah ini sekurang-kurangnya dapat memberi maklumat yang tepat mengenai ajaran Islam kepada umat Islam sendiri dan juga orang bukan Islam. “Orang bukan Islam juga akan mengetahui perspektif dan gambaran ajaran Islam yang sebenar seperti yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran apabila mereka menonton stesen televisyen tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Zainal berkata, tindakan bijak pihak kerajaan ini juga diharapkan sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi pihak-pihak tertentu terhadap ajaran Islam yang sebelum ini Islam dikatakan sebagai pengganas ekoran beberapa kejadian yang berlaku yang melibatkan umat Islam. Katanya, gambaran Islam sebenar dapat diperolehi daripada stesen televisyen ini dan pelbagai lapisan masyarakat boleh menonton bagi mengenali Islam dengan lebih dekat. TV AlHijrah merupakan stesen televisyen kerajaan yang baru dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin. Stesen televisyen ini berperanan memperkenalkan ajaran Islam sebenar kepada seluruh rakyat di negara ini.

0 comments: