CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, December 9, 2010

TUANKU BERI JAMINAN


SUNGAI LEMBING – Penduduk di Kampung Kawah di sini bakal menerima sebuah jambatan baru dalam jangka masa enam bulan berikutan jambatan tersebut terputus dua kelmarin akibat daripada arus deras sungai. Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah yang berkenan melihat keadaan jambatan tersebut bertitah baginda tidak mahu melihat rakyatnya hidup susah gara-gara masalah yang berlaku dan mahu isu itu diselesaikan secepat mungkin. Baginda bertitah, jambatan tersebut perlu disiapkan dalam jangka masa yang ditetapkan agar rakyat mudah melaksanakan tugasan seharian mereka di kampung ini. “Beta tidak mahu rakyat di negeri beta ini hidup susah, oleh itu beta mahu satu gerakan kerja yang tersusun dilaksanakan secepat mungkin agar tidak membawa musibah lain kepada rakyat beta di kampung ini,” titah baginda. Selain itu, baginda juga berharap agar jambatan gantung yang dijanjikan siap dalam tempoh 10 hari lagi itu memberi keselesaan kepada penduduk untuk keluar masuk. Seterusnya, baginda juga akan menulis surat kepada menteri terbabit untuk memohon peruntukan berjumlah RM25 juta bagi tujuan pembinaan sebuah jambatan konkrit di kampung ini. Muka depan Sinar Harian semalam melaporkan keresahan yang dihadapi penduduk Kampung Kawah selepas jambatan kayu yang menjadi laluan utama mereka dihanyutkan arus deras. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang, Datuk Ir Rosman Yahya berkata, jambatan baru yang dicadangkan tersebut mungkin menelan belanja RM1.5 juta hingga RM2 juta dan akan dibina berlandaskan kaedah kecemasan dan keselamatan. Menurutnya, perancangan jangka panjang untuk pembinaan jambatan konkrit itu pula mungkin mengambil masa yang lama. Bagaimanapun pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah. “Kita mengira pelbagai jenis sudut untuk pembinaan jambatan ini kerana ia menjadi laluan kayu balak yang hanyut dan ‘sampah’ yang mungkin akan terletak pada dasar jambatan. “Bagaimanapun, pihak kami akan usaha yang terbaik untuk mengatasi masalah ini dan berharap jambatan baru yang dibina nanti lebih selamat dan selesa untuk kegunaan penduduk,” katanya.

0 comments: